Anak degil...apa ubatnya?
Soalan: Assalamualaikum Puan Jamilah, anak saya berumur enam tahun, sering tidak mendengar kata. Bukan sahaja bajunya selalu dilonggokkan di atas lantai, dia degil bila disuruh bersolat atau membuat kerja rumah, malah nak disuruh mandi sebelum magrib pun payah. Puas saya memarahinya tetapi tidak membuahkan hasil. Bagaimana caranya untuk mendidik anak yang sentiasa taat kepada ibu bapa? Minta pandangan Puan. Terima kasih.
Jawapan: Waalaikumsalam wbt. Seringkali kedengaran ibubapa yang mengeluh kerana anak tidak mendengar kata. Disuruh pakai baju berkolar dia pilih kemeja leher bulat. Disuruh buat kerja rumah lepas magrib, dia enggan sebab itu waktu rancangan TV kegemarannya. Disuruh kemas bilik katanya dia senang barang-barangnya bersepah begitu sahaja.
Taat Biar Kena Pada Tempatnya
Cuba fikirkan sejenak. Benarkah kita mahu anak yang sentiasa taat seratus peratus?
Kajian menunjukkan sejumlah kes penderaan seks (sexual molestation) membabitkan kanak-kanak yang tidak tahu mengatakan "Jangan" atau "Tidak" pada pendera. Majoriti pendera seks dikenali oleh mangsa iaitu kanak-kanak terbabit. Ini bermakna, kanak-kanak ini dilatih dari kecil untuk patuh seratus peratus kepada orang yang lebih tua. Mereka tidak dididik untuk bersuara bila perlu dan bersikap asertif.
Sejarah membuktikan patuh membuta tuli parah akibatnya. Lihat sahaja kes Adolf Hitler yang berjaya memesongkan para pengikut yang taksub dengan kepemimpinannya. Kezaliman Adolf Hitler tidak mungkin berlaku tanpa adanya pengikut yang begitu ramai taat dan patuh kepada perintahnya.
Sifat degil ada baiknya jika kena pada tempatnya. Degil boleh bermakna tidak mudah terpengaruh dengan kawan yang cuba menjerat kita kepada tabiat yang tidak elok seperti merokok.
Sebenarnya yang kita mahu bukan anak yang taat seratus peratus. Yang kita mahu ialah:
* Anak-anak yang bijak membezakan antara suruhan yang baik dengan perintah yang buruk
* Anak-anak yang patuh kepada suruhan yang baik tetapi ingkar kepada perintah yang buruk
Yang Mana Lebih Penting?
Cuba senaraikan kesemua perkara yang anda tidak puas hati dengan anak anda. Kemudian fikirkan yang mana patut menjadi prioriti. Contohnya:
Antara solat dengan kemeja berkolar. Yang mana lebih penting?
Antara kemas bilik dengan pandai mengambil hati adik. Yang mana lebih penting?
Ada kalanya kita terlalu banyak yang tidak puas hati dengan anak. Oleh itu kita lontarkan teguran demi teguran sepanjang hari. Meskipun niat kita baik, ingin mendidik anak sesempurna yang terdaya, akibatnya anak jadi keliru kerana terlalu banyak teguran dalam suatu tempoh masa tertentu. Jadi, pilih satu atau dua sahaja prioriti anda sekarang.
Pada pandangan saya, solat jauh lebih penting berbanding memakai baju berkolar.
Pandai mengambil hati adik lebih penting berbanding mengemas bilik.
Minta Penjelasan
Perhatikan perbualan berikut di antara Ayah dengan Isa (enam tahun). Isa berkongsi bilik dengan adiknya Azman (lima tahun) dan sering bertegang urat lebih-lebih lagi di waktu pagi.
Ayah: (dengan nada lembut) Isa, pagi tadi Ayah dengar adik menangis dalam bilik air. Apa yang berlaku?
Isa: (dahi berkerut) Isa marahkan dia. Susah sangat dia nak bangun, Ayah. Dia kata susah nak tidur sebab Isa asyik tendang dia malam tadi. Padahalnya dia yang tendang Isa berkali-kali.
Ayah: (tertawa kecil) Dah sah dua-dua anak Ayah.
Isa: (hairan) Kenapa Ayah?
Ayah: Dulu masa Isa kecil dan suka tidur dengan Ayah, Isa pun suka tendang Ayah larut malam! Nenek kata, ayah masa kecil dulu bila tidur memang ganas. Habis ditendang orang kiri kanan.
Latih Anak Berfikir Secara Rasional
Perhatikan:
* Ayah menggunakan nada lembut jadi si anak tidak merasa tercabar. Ini penting supaya si anak boleh menjawab soalan dengan rasional bukan secara defensif dan emosional.
* Ayah bertanya "Apa yang berlaku" dan bukan "kenapa" atau "mengapa". Kanak-kanak kecil sukar menjawab soalan "kenapa" dan "mengapa" dalam situasi begini kerana ianya seolah-olah mendesak mereka mencari alasan bagi perbuatan yang telah dilakukan. (Jawapan untuk "mengapa" mungkin: "Saya cemburu sebab Ayah lebih banyak luangkan masa dengan adik" atau "Saya geram sebab Adik pandai. Dia selalu dapat keputusan peperiksaan lebih cemerlang dari saya"!)
* Bila Ayah bertanya "Apa yang berlaku?", si anak hanya perlu menceritakan fakta-fakta kejadian terbabit. Si Ayah seterusnya boleh membuat tanggapan dan rumusan sendiri.
* Hasilnya, Isa tersedar dia sendiri melakukan perkara yang dia tuduh adiknya lakukan! Sejak saat ini, kes "siapa tendang siapa" tidak lagi menjadi isu dalam keluarga ini.
Bandingkan dengan:
Ayah: (nada meninggi) Apa bising-bising Ayah dengar pagi tadi?
Isa: Tapi Ayah ...
Ayah: Berapa kali Ayah dah kata jangan gaduh dengan adik. Isa ni degil benar, tak dengar cakap Ayah!
Di sini si anak langsung tidak diberi peluang untuk menceritakan apa sebenarnya yang berlaku.
Antara Lembut Dan Tegas
Ini tidak bermakna kita perlu berlembut setiap masa dengan anak. Adakalanya kita perlu tegas.
Contoh:
Ibu menyuruh Din (lapan tahun) mengemas bilik. Ibu sediakan satu senarai perkara-perkara yang perlu dibuat oleh Din. Berikut senarai yang Ibu berikan pada Din:
* Ambil baju kotor atas lantai, masukkan dalam bakul kain kotor
* Susun buku atas meja
* Kemas katil (lipat selimut, susun bantal)
* Kutip mainan atas lantai, masukkan dalam bakul mainan
Sesetengah anak, terutama anak lelaki lebih mudah mengikuti senarai arahan sebegini kerana dua sebab:
1. Ia spesifik, jadi mereka tahu apa sebenarnya yang perlu dibuat.
2. Kata-kata "kemas bilik" kabur untuk sesetengah kanak-kanak.
Tegas Hanya Bila Perlu
Bagaimana jika anak enggan mengemas bilik meskipun anda sudah sediakan senarai sebegini?
Perhatikan komunikasi di bawah:
Ibu: (berdiri di pintu) Isa, Ibu lihat bilik ni belum dikemas lagi.
Isa: (bermain komputer) Alaa... nantilah Ibu.
Ibu: (tercegat di pintu dan bercakap dengan nada tegas) Isa, Ibu nak Isa kemaskan bilik ni sekarang. (Ibu tidak beredar dan menunggu sehingga Isa mengemas biliknya.)
Dalam komunikasi di atas, perhatikan:
Nada suara Ibu tegas tetapi tidak menengking. Ibu tidak berleter tetapi menyatakan dengan jelas apa yang dia mahu Isa lakukan. Isa berhenti bermain komputer dan terus mengemas biliknya kerana dia terasa kurang enak bila menyedari Ibunya tidak akan beredar selagi dia tidak berbuat demikian.
Segalanya Lebih Mudah Jika Anda Mesra Dengan Anak
Rata-rata kanak-kanak tidak suka sengaja menyakiti hati ibu bapa. Malah, boleh dikatakan kesemua anak-anak ingin menyeronokkan hati ibu bapa. Ini memang naluri mereka sebagai anak. Jadi, bersangka baiklah dengan anak anda. Sebenarnya, anak anda (tidak kira berapa umurnya) lebih mudah menerima pandangan dan nasihat yang anda berikan jika anda rapat dan mesra dengannya.
Jangan cepat melenting dan menggelar anak sebagai 'degil' atau 'malas' bila dia enggan mematuhi suruhan anda. Apa sahaja gelaran yang anda gunakan untuk anak anda sama ada buruk mahupun yang baik adalah doa yang boleh dimakbulkan Allah bila-bila masa sahaja.
Dari sudut psikologi pula, kanak-kanak cenderung bertindak sesuai dengan tanggapan kita. Ini bermakna, jika kita menganggapnya 'degil', dia akan cenderung untuk berperangai degil. Sebaliknya jka kita menganggapnya "malas", dia akan lebih cenderung bersikap "malas"
No comments:
Post a Comment